Park51

Gambaran artis untuk Pusat Islam Park 51.

Rumah Kordoba (atau Rumah Cordoba) dan kini dipanggil Park51 adalah pusat Islam yang dicadang dibina di Bandaraya New York berhampiran dengan kawasan runtuhan Pusat Dagangan Dunia New York yang musnah diserang pada 11 September 2001. Pusat Islam 13 tingkat bernilai AS$100 juta ini direkabentuk dengan memiliki auditorium dengan 500 tempat duduk, teater, pusat seni persembahan, pusat kesihatan, kolam renang, gelanggang bola keranjang, penjagaan kanak-kanak, kedai buku, kelas masakan, studio, tempat makan dan ruangan sembahyang yang boleh memuatkan 1,000 hingga 2,000 orang.

Pembinaan bangunan ini diluluskan oleh Majlis Perbandaran New York tetapi dibantah oleh ramai orang di Amerika Syarikat dengan alasan tidak menghormati sensitiviti mangsa serangan 11 September yang didakwa perbuatan ekstrimis Islam. Bekas Speaker Dewan Perwakilan A.S. Newt Gingrich berkata pusat Islam ini akan "menjadi ikon kemenangan orang Islam yang menyemarakkan mereka untuk mencabar peradaban Amerika."[1] Para penentang pusat Islam ini cuba mendapatkan resolusi mengisytiharkan bangunan yang hendak dimusnahkan untuk membina pusat Islam sebagai bangunan bersejarah tetapi ditolak oleh Suruhanjaya Pemuliharaan Bangunan New York.

Rancangan untuk membina Rumah Kordoba mula dibuat pada bulan Disember 2009 di satu lokasi yang sudah digunakan oleh orang Islam sebagai tempat sembahyang. Pengurus projek mahukan projek ini menjadi wadah untuk dialog antara agama yang menggalakkan keamanan, toleransi dan persefahaman di kalangan penduduk di Bandaraya New York, Amerika dan dunia. Pusat Islam ini akan dibangunkan mengikut model pusat kebudayaan Yahudi di New York.

Nama Kordoba dipilih sempena bandar Kordoba dalam kurun ke-8 hingga ke-11, di mana ia menjadi model kepada kehidupan aman orang Islam, Kristian dan Yahudi. Bagaimanapun cadangan pembinaan ini mencetuskan kontroversi di dalam negara apabila para penentang meluahkan rasa bimbang ia merujuk kepada penawanan Islam ke atas bandar Kristian Cordoba di Sepanyol. Penyokong pusat Islam ini menyeru rakyat Amerika agar menghayati Pindaan Pertama Perlembagaan Amerika Syarikat serta peluang untuk orang Islam menunjukkan nilai-nilai keamanan Islam dan komitmen mereka kepada toleransi dan kepelbagaian.

Bantahan ke atas pusat Islam ini mula dicetuskan oleh satu kempen yang dibuat oleh penulis blog Pamela Geller, seorang pengkritik Islam dan pengasas bersama pertubuhan Stop Islamization of America (Hentikan Islamisasi Amerika) dan terus menarik perhatian negara termasuk sokongan daripada Datuk Bandar New York Michael Bloomberg dan bantahan daripada bekas Datuk Bandar Rudolph Guilani. Ia juga menarik komen daripada Presiden Barack Obama, Sarah Palin dan Newt Gingrich. Tinjauan menunjukkan kebanyakan rakyat Amerika dan penduduk New York menentang pembinaan projek itu sementara kebanyakan penduduk Manhattan menyokong.

  1. ^ Katakan tidak kepada masjid di "Ground Zero oleh Newt Gingrich, "...the mosque would become an icon of triumph, encouraging them in their challenge to our civilization."

© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search